Saturday, June 28, 2008

Sifat Wanita Mulia

  • Tidak suka menuntut perkara yang membebankan suami
  • Tidak berhias untuk lelaki bukan muhrimnya
  • Menjauhkan diri daripada sifat tercela
  • Tidak meninggikan suara melebihi suara suami
  • Tidak keluar rumah tanpa izin suami
  • Tidak membelanjakan harta suami tanpa izinnya
  • Menjalankan kewajipan terhadap ajaran agama
  • Tidak menuntut cerai atau talak
  • Tidak cepat cemburu pada sesuatu yang belum pasti
  • Berbuat baik dalam menjalinkan hubungan dengan keluarga suami
  • Tahan menderita ketika suami ditimpa musibah

Sumber: Berita Harian

Friday, May 30, 2008

Suami Isteri Perlu Romantik

Sikap romantik suami terhadap isteri adalah sifat yang digalakkan dalam Islam. Ia adalah penyubur kasih sayang antara suami isteri. Sifat ini perlulah dikekalkan sepanjang masa walaupun ketika usia semakin tua dan jangan sekali menjadikan anak serta cucu sebagai alasan untuk tidak lagi bersikap romantis.
Sikap romantik lahir dari hati kaya dengan kasih sayang dan ia adalah manifestasi daripada akhlak mulia yang terpancar melalui percakapan serta perbuatan sehari-hari.

Sikap romantik yang perlu dilahirkan:
1. Memberi ciuman mesra kepada isteri tatkala isteri mencium tangan suami yang hendak keluar bekerja dan baru pulang ke rumah. Ciuman adalah lambang kesetiaan, peniup semangat untuk isteri dan suami meneruskan kehidupan seharian.

2. Mendakap isteri ketika hendak keluar dari rumah. Ini akan mencetuskan ingatan yang berpanjangan sewaktu suami dan isteri berpisah sama ada untuk keluar bekerja atau urusan lain.

3. Selalu mengucapkan perkataan yang menunjukkan kasih mendalam kepada isteri.

4. Memanggil isteri dengan panggilan atau gelaran yang disukai.

5. Selalu usik-mengusik dan bergurau senda.

6. Berjalan beriringan di luar rumah. Setidak-tidaknya jangan berjalan terlalu laju meninggalkan isteri jauh di belakang.


Petua mengekalkan sifat romantis
1. Isteri hendaklah bijak menghias bilik tidur untuk mewujudkan suasana romantik. Apabila ini dapat dilakukan, suami akan sentiasa berasa gembira sehingga sikap romantik yang ada dapat disuburkan.

2. Isteri hendaklah menjaga penampilan di hadapan suami dengan memakai pakaian yang menarik dan bau-bauan menyenangkan suami.

3. Usah malu menggunakan ungkapan cinta ketika berdua-duaan, seperti lazim diucapkan pasangan bercinta.

4. Di celah kesibukan dengan kerjaya dan menguruskan rumah tangga, suami dan isteri hendaklah bijak mencari masa untuk berdua-duaan tanpa gangguan anak atau cucu.


Sumber: Berita Harian

Thursday, November 1, 2007

Persediaan Perkahwinan

Perkahwinan adalah hubungan intim yang paling mencabar, namun ia juga sumber kegembiraan dan kepuasan jiwa. Bagaimanapun, sukar untuk mencapai apa yang semua manusia mahukan daripada perkahwinan itu. Satu perkara buruk yang menjadi mimpi ngeri ialah perkahwinan yang tidak bahagia. Oleh itu, setiap keputusan untuk memilih pasangan hidup dan berkahwin adalah keputusan yang paling rumit untuk dibuat.

Bagaimana mengetahui si dia adalah jodoh anda?

Boleh menerima perbezaan yang wujud pada pasangan
Ciri utama dalam perkahwinan bukan terletak pada keupayaan menyelesaikan perbezaan, tetapi kemampuan menerima dan menyesuaikan diri dengan perbezaan itu. Bagi sesetengah perkahwinan adalah penting suami isteri menerima perbezaan itu, malah mungkin ia menceriakan lagi kehidupan berumahtangga.
Misalnya, si isteri sukakan suasana rumah yang kemas dan teratur namun suami pula sering meletakkan barangan miliknya di merata tempat. Si isteri mungkin merungut tetapi menerima hakikat bahawa itu adalah tabiat suaminya.

Mengenali diri anda
Sebelum memilih pasangan hidup dan membentuk keluarga adalah berguna jika anda lebih menyedari kekurangan dan kelebihan diri sendiri. Ia amat membantu dalam usaha anda memilih pasangan yang sesuai.
Senaraikan kekurangan dan kelebihan diri supaya anda mendapat gambaran seimbang mengenai diri sendiri.
Anda juga boleh melakukannya bersama pasangan anda supaya dapat mengukuhkan lagi hubungan cinta anda.
Ini membolehkan anda membuat andaian terlebih dahulu apa yang akan berlaku jika anda mengahwininya serta merangka jalan penyelesaian yang sesuai.

Mengenali personaliti antara satu sama lain
Antara faktor yang sering dikaitkan dalam permasalahan perkahwinan adalah sikap mudah terasa atau sensitif. Di kalangan kita, kira-kira 15 peratus hingga 20 peratus adalah Manusia Terlalu Sensitif (MTS) dan selebihnya bukan MTS.
Sikap ini ditentukan oleh keturunan dan bukan kerana dipengaruhi oleh apa yang berlaku di sekeliling kita dan wujud tanpa mengira jantina anda.
Kemungkinan ketara dalam perkahwinan adalah MTS dengan bukan MTS adalah wujudnya percanggahan pendapat.
Misalnya, apabila ingin membeli rumah, individu bukan MTS mahukan keputusan yang segera, manakala individu MTS mahu berfikir terlebih dulu, mungkin mengenai kemampuan membayar balik pinjaman, kesesuaian tempat dan sebagainya.
Oleh itu, adalah bijak jika anda menetapkan terlebih dulu ciri teman hidup yang anda impikan.

Mengetahui masalah zaman kanak-kanak masing-masing
Antara punca wujudnya perkahwinan yang tidak bahagia adalah kemungkinan pasangan anda didera semasa kanak-kanak, sama ada secara emosi, fizikal atau seksual.
Penganiayaan seperti ini akan menyebabkan seseorang itu sering mengalami tekanan perasaan walaupun sudah dewasa.
Biasanya individu seperti ini akan menghadapi kesukaran meneruskan kehidupan berumahtangga dan menyebabkan kesengsaraan hidup terhadap pasangan dan anaknya.
Anda patut berusaha mendapatkan bantuan pakar jika menghadapi masalah. Masalah itu jika dibiarkan mungkin menjadi lebih buruk dan menjejaskan masa depan anda.

Mengetahui keupayaan dan kelemahan diri sendiri
Fikirkan dulu mengenai keupayaan dan kelemahan diri anda dari segenap sudut sebelum membuat keputusan untuk berkahwin.
Jika anda lemah dari segi kemahiran dalam perhubungan anda mungkin mengalami tekanan untuk mewujudkan keharmonian perkahwinan. Malah, mereka yang mahir dalam perhubungan pun menghadapi cabaran dalam perkahwinan.
Ada pelbagai cara untuk menilai kemahiran perhubungan anda. Tanyalah diri sendiri sama ada mudah atau sukar untuk anda mengekalkan hubungan persahabatan.
Jika jawapannya sukar, maka anda patut berusaha meningkatkan kemahiran perhubungan sebelum mendirikan rumahtangga.


Sumber: Berita Harian