Wednesday, September 19, 2007

Biar Makin Disayangi Suami

Memang tidak adil jika kita hanya meminta para lelaki yakni hanya suami yang menanggung semua keperluan dalam sesebuah hubungan. Sesekali apa salahnya anda pula yang mengambil alih tanggungjawab tersebut. Tapi janganlah sampai anda pula menjadi pengendali dalam bahtera hubungan anda berdua. Keadaan berat sebelah seperti ini akan menyebabkan perjalanan rumah tangga atau hubungan perkasihan anda tidak akan berjalan lancar. Oleh sebab itu, prinsip give and take perlu betul-betul diterapkan.
Bagi lelaki memikul kesemua tanggungjawabnya bukan satu masalah. Bagi mereka asalkan isteri atau kekasih senang, mereka sanggup lakukan apa sahaja. Tapi sebagai isteri atau pasangan yang setia, anda juga perlu melakukan sesuatu yang bermakna. Jika anda ada sikap tolak ansur,sudah pasti anda akan semakin disayangi pasangan.

Untuk itu, cuba beberapa tip berikut ini:

  1. Sempatkan diri anda menyapa suami ketika anda atau dia mahu ke pejabat atau hubunginya melalui telefon di pejabatnya dan katakan bahawa anda akan merinduinya sepanjang hari itu. Ciuman kasih juga boleh diberikan kepada suami sebelum dia melangkah ke tempat kerja.
  2. Ungkapkan rasa cinta anda dengan pelbagai cara unik. Misalnya, kirimkan pesan cinta singkat melalui SMS di telefon bimbit atau emelnya. Atau, selitkan pesanan "Selamat makan, sayang" dalam bekalan makanan tengaharinya jika anda membekalkan makanan tengahari dari rumah untuk suami.
  3. Sesekali, buat janji makan tengahari bersamanya secara spontan. Ajak dia ke restoran tempat pertama kali anda makan berdua ketika bercinta dahulu (kalau tempat itu masih di daerah tempat anda tinggal sekarang).
  4. Biarkan dia membantupekerjaan anda. Jangan lupa ucapkan terima kasih setelah itu, lalu pujilah usahanya membantu anda.
  5. Sesekali ajak dia menonton wayang di pawagam. Biarkan dia yang menentukan filem apa yang mahu ditonton. Memberi pujian dengan mengatakan bahawa dia pun sehebat hero dalam filem itu. Sebutkan beberapa kebaikannya yang membuat anda sangat menyintai dan menyayanginya, walaupun mungkin wajahnya tidak sekacak hero dalam filem yang anda tonton itu.
  6. Jika dia merancang mahu menonton siaran langsung sukan kegemarannya di kaca TV pada tengah malam, sediakan makanan ringan kesukaannya. Esok pagi, tanyakan berapa gol atau skor yang diperoleh oleh pasukan kesukaan. Biar suami menyedari sikap prihatin anda terhadapnya atau sekurang-kurangnya dia dapat merasakan betapa anda begitu menghargainya.
  7. Tidak perlu menunggu hari ulang tahunnya untuk memberikan hadiah. Berikan kejutan berupa hadiah-hadiah kecil seperti aksesori kereta, tali leher atau kaset penyanyi atau group band kegemarannya.
  8. Tertawalah ketika mendengar gurauannya, atau menyanyilah bersamanya biarpun suaranya terdengar sumbang.
  9. Berusahalah bergaul dengan para sahabatnya. Anggap dia seperti teman anda sendiri. Jika mereka menceritakan kisah nostalgia masa lalu, dengarkan bersungguh-sungguh, meskipun anda sudah mendengar cerita-cerita itu.
  10. Simpan gambarnya di dompet anda.
Sumber: Mingguan Wanita (25-31 Julai 2003)

Tuesday, September 18, 2007

Amalan & Adab Berjimak

Rasulullah s.a.w. telah bersabda yang bermaksud, "Sesungguhnya sejahat-jahat manusia di sisi Allah di hari kiamat kelak ialah seorang lelaki yang melepaskan hajatnya kepada isterinya dan isterinya melepaskan hajatnya kepadanya dan kemudian dia menceritakan rahsia itu.
Islam telah menggariskan amalan dan adab tertentu ketika pasangan suami isteri melakukan jimak:
1. Sembahyang sunat dan membaca surah
Pasangan pengantin baru contohnya digalakkan melakukan sembahyang sunat dua rakaat dan kemudian si suami dianjurkan pula supaya membaca Surah al-Fatihah (3 kali), Surah al-Ikhlas (3 kali) dan memanjatkan selawat ke atas nabi Muhammad s.a.w. (3 kali). Selepas itu, si suami hendaklah berdoa kepada Allah agar hubungan mereka suami isteri diberkati dan diberikan kebahagiaan yang berkekalan.
2. Membersihkan kemaluan dan ambil wuduk
Selepas melakukan hubungan jimak, kedua-duanya hendaklah membasuh kemaluan dan jika hendak mengulanginya, dianjurkan agar mereka mengambil wuduk terlebih dahulu bagi mengembalikan tenaga yang telah hilang.
3. Pasangkan niat
Hubungan seksual memberi erti kata yang lebih bermakna daripada memuaskan nafsu ke dua belah pihak semata-mata. Sebaiknya sebelum melakukan hubungan seksual dengan pasangan, pasangkan niat di hati bahawa tujuan hubungan seksual tersebut adalah untuk memenuhi kewajiban kepada Allah S.W.T. Pasangan yang melakukan hubungan seksual mengikut adab yang ditentukan akan mendapat pahala dari Allah.
4. Bercumbu dengan sopan
Ketika melakukan hubungan seksual, keduanya digalakkan untuk bercumbu dan melakukan dengan baik dan sopan. Ini diperkuatkan lagi dengan firman Allah S.W.T. yang bermaksud: "Dan pergauli isteri-isterimu dengan cara yang baik"
Teknik bercumbu mampu menghilangkan rasa malu di hati isteri ketika disentuh oleh suami. Sentuhan dan cumbuan juga merupakan bukti kasih-sayang si suami kepada isterinya.
5. Mencapai kepuasan bersama
Apabila menyentuh tentang soal kepuasan dalam hubungan seksual suami isteri, si suami haruslah memahami kehendak seksual isterinya. Si suami hendaklah memberi peluang kepada isterinya untuk mencapai kepuasan setanding dengan kepuasan yang dirasainya.
6. Jangan berbogel
Ketika bersama, keduanya dilarang melucutkan semua baju dari tubuh. Ini ditekankan lagi dengan hadis Nabi Muhammad s.a.w. yang diriwayatkan daripada Ibnu Majah yang bermaksud: "Apabila salah seorang darimu menyetubuhi isterinya, maka janganlah mereka telanjang seperti bogelnya sepasang keldai"
7. Berhias dan memakai wangi-wangian
Sebelum melakukan hubungan seksual, baik suami mahupun isteri digalakkan untuk membersihkan diri dan memakai wangi-wangian. Isteri yang bijak seharusnya bersolek dan memakai pakaian yang indah-indah untuk menarik hati suaminya.
8. Sunat dua kali seminggu
Adalah disunatkan agar si suami melakukan hubungan seksual dengan isterinya dua kali seminggu. Bagaimanapun pasangan boleh menambah atau mengurangkannya sesuai dengan keadaan, kemampuan dan keinginan pasangan. Kerap melakukan hubungan seksual boleh menyebabkan rasa jemu. Terlalu jarang melakukannya pula boleh membuatkan si isteri merasa dipinggirkan.
Sumber: Nur (November 2002)

Monday, September 17, 2007

Hak-Hak Sebelum Dan Selepas Perkahwinan

Kehidupan sebagai suami isteri bukanlah satu perkara yang dipandang remeh. Alam rumah tangga perlukan komitmen sepadu di samping tanggungjawab setiap individu dalam menjaga sebuah keharmonian ikatan agar kekal abadi. Justeru itu bagi setiap pasangan suami isteri samada yang baru berkahwin ataupun sudah lama mendirikan rumah tangga, ilmu tentang ertikata sebenar perkahwinan perlu ada supaya masing-masing ketahui hak tersendiri dan tidak berlaku kecelaruan di kemudian hari andai dilanda sebarang masalah.

Bagi mereka yang masih kabur dengan hak-hak dalam perkahwinan, anda seharusnya mengetahuinya lebih terperinci penyataan hak dari sudut undang-undang kekeluargaan Islam dan amat penting bagi individu memahami seluruh fakta berkaitannya.

Hak-Hak Sebelum Berkahwin
Seperti yang terkandung di dalam peruntukan undang-undang kekeluargaan, seseorang mempunyai hak untuk mengatur urusan perkahwinannya. Undang-undang kekeluargaan Islam telah menetapkan beberapa hak yang boleh diperolehi iaitu:

a) Had umur minimum perkahwinan
Ia membawa maksud individu samada lelaki atau perempuan ditetapkan mencapai umur usia tertentu iaitu 16 tahun bagi perempuan dan 18 tahun bagi lelaki, untuk melayakkan dia berkahwin. Had umur ditetapkan untuk menjamin kebajikan kedua-dua pasangan yang ingin berkahwin. Umur 16 tahun bagi gadis dan 18 tahun bagi teruna dianggap tahap umur dewasa dan mampu berfikir dengan matang dalam membuat sebarang keputusan berkaitan masa hadapan.

Sekiranya had umur tidak dipatuhi, perkahwinan itu adalah salah di sisi undang-undang walaupun dikira sah dari segi syarak. Perkahwinan yang salah di sisi undang-undang tidak boleh didaftarkan, malah hak-hak lanjutan ekoran perkahwinan tersebut juga sukar diperolehi. Jikalau keadaan tidak dapat dielakkan dan perkahwinan yang melibatkan pasangan bawah umur tetap ingin dilakukan, maka permohonan boleh dikemukakan kepada pihak Kadi atau Mahkamah Syariah untuk mendapatkan keizinan.

b) Hak diminta keizinan untuk berkahwin
Maksudnya ialah kedua-dua pasangan hendaklah diminta persetujuan untuk perkahwinan yang bakal dilangsungkan. Seorang gadis tidak boleh dipaksa kahwin sekalipun oleh wali mujbirnya (bapa atau datuk sebelah bapa dan ke atas). Izin bakal isteri mesti diperolehi. Seorang bakal isteri yang bergelar janda wajib mendapatkan keizinan manakala bagi gadis, memadai hanya diam sebagai tanda setuju.

Bagaimanapun, dalam beberapa keadaan, seorang gadis boleh dinikahkan oleh wali mujbir tanpa persetujuan gadis sekiranya:
  • wali mujbir atau bakal suami tidak mempunyai permusuhan dengan si gadis
  • bakal suami sekufu dengan si gadis (sekufu: kesamaan/keserasian antara kedua pasangan)
  • bakal suami berkemampuan membayar mahar misil
Sekiranya wali tidak bersetuju dengan sesuatu perkahwinan tanpa sebarang sebab munasabah di sisi syarak, permohonan boleh dikemukakan kepada pihak mahkamah Syariah supaya perintah dikeluarkan bagi mengarah wali memberi izin perkahwinan tersebut. Jika wali tetap enggan memberi izin, Mahkamah Syariah akan mengeluarkan perintah supaya perkahwinan menggunakan wali hakim (Wali Hakim: wali yang ditauliahkan oleh pihak berkuasa negeri untuk mengahwinkan perempuan yang tidak mempunyai wali nasab/wali asal/keturunan).

c) Hak dalam pertunangan
Mengikut Undang-Undang Kekeluargaan Islam, individu boleh dapatkan gantirugi sekiranya pertunangan itu diputuskan oleh pihak satu lagi. Sebagai contoh, seorang perempuan yang diputuskan pertunangannya dalam keadaan dia tidak rela dengan keputusan pihak lelaki, maka dia berhak menuntut pihak lelaki membayar gantirugi perbelanjaan yang telah dibuat sebagai persediaan majlis dan menuntut supaya memulangkan semua pemberian pertunangan atau nilai barang jika ia telah digunakan. Sekiranya pertunangan itu diputuskan oleh pihak perempuan, maka keadaannya sama seperti di atas. Pihak perempuan mesti memulangkan semua pemberian pertunangan atau nilai barang yang telah digunakan. Pihak lelaki juga berhak menuntut gantirugi perbelanjaan yang telah dibuat untuk persediaan majlis dan menuntut kembali wang hantaran sekiranya telah diberi kepada pihak perempuan.

d) Hak untuk mendapat mahar/mas kahwin
Hak untuk mendapat mahar atau mas kahwin hanya diperolehi oleh pihak perempuan iaitu bakal isteri. Mas kahwin adalah hak yang wajib diperolehi oleh seorang isteri daripada suaminya, mengikut peruntukan undang-undang, mas kahwin hendaklah dibayar oleh suami/wakilnya kepada isteri/wakilnya semasa pernikahan di hadapan dua orang saksi. Pihak pendaftar nikah akan mencatat jumlah mas kahwin, pemberian atau sebarang perjanjian pemberian atau cagaran mas kahwin dan pemberian bagi serahan masa akan datang (selepas akad nikah).

Tiada penetapan khas di dalam perundangan berhubung dengan jumlah mas kahwin, namun memadailah jumlah itu dalam anggaran kemampuan bakal suami dan tidak melibatkan hutang yang akan membebankan suami isteri. Tiada peraturan atau syarat tertentu berkaitan dengan ketetapan kadar mas kahwin. Bagaimanapun, ada negeri yang menyelaraskan kadar mas kahwin tetapi ia bukanlah satu kadar yang tetap dan perlu dipatuhi. Misalnya bagi Wilayah Persekutuan dan Selangor, lazimnya jumlah mas kahwin RM80 manakala bagi negeri Johor, jumlah mas kahwin biasanya ialah RM22.50.

Hak-Hak Semasa Tempoh Perkahwinan
Semasa tempoh perkahwinan, terdapat beberapa hak yang boleh diperolehi oleh seorang isteri iaitu:

a) Hak untuk mendapat nafkah
Nafkah ialah pemberian yang wajib dari seorang suami kepada isterinya di samping tempoh perkahwinan. Nafkah tersebut samada nafkah batin iaitu mengadakan hubungan kelamin atau nafkah zahir iaitu menyediakan makan minum, pakaian, tempat tinggal, perkhidmatan seperti perubatan, pendidikan, peribadatan dan lain-lain keperluan isteri yang dikira wajar dan tidak melampau di sisi syarak. Seorang isteri akan kehilangan hak mendapat peruntukan nafkah daripada suami apabila didapati isteri berlaku nusyuz (derhaka kepada suami iaitu tidak menunaikan kewajipan sebagai isteri), di antaranya:
  • apabila dia menjauhkan diri daripada suaminya
  • apabila dia meninggalkan rumah bertentangan dengan kehendak suaminya
  • apabila dia enggan berpindah bersama suaminya ke satu rumah atau tempat lain
  • tidak melayani suami di tempat peraduan
Seorang bapa (suami) bertanggungjawab sepenuhnya berhubungan dengan nafkah anak-anaknya samada mampu berdikari atau berumahtangga. Sekiranya bapa meninggal dunia, hilang atau tidak berupaya menanggung nafkah tersebut, tanggungjawab itu dipikul oleh datuk atau pihak lain yang bertanggungjawab di bawah hukum syarak. Isteri boleh mengemukakan aduan kepada Mahkamah Syariah apabila suami atau bekas suami tidak membayar nafkah untuk dirinya dan anak-anak.

b) Hak untuk mendapat layanan baik
Suami isteri berhak mendapat layanan yang baik daripada pasangan masing-masing, termasuklah pemberian kasih-sayang, bimbingan dan perhatian. Seorang suami perlu menghormati isteri begitu juga kepada suaminya. Meskipun suami dianggap ketua keluarga, isteri bukan hamba yang boleh dikerah melakukan kerja rumah sesuka hati suami. Bagi isteri pula, walaupun suami adalah pekerja bawahan di pejabatnya tetapi di rumah, suami adalah ketua yang mesti ditaati. Suami juga hendaklah memberi keadilan kepada isteri-isteri yang dimadukan kerana menjadi hak setiap isteri mendapat keadilan dalam kehidupan berpoligami. Keadaan yang dimaksudkan ialah menepati hak dan minat setiap isteri dalam apa jua perkara.

c) Hak untuk membubarkan perkahwinan
Suami atau isteri mempunyai hak membubarkan perkahwinan apabila hikmah perkahwinan tidak dapat dinikmati lagi. Apabila berlaku konflik yang kritikal antara suami isteri, aduan hendaklah dibuat kepada Unit Khidmat Nasihat Keluarga di pejabat agama berdekatan. Satu sesi kaunseling akan diadakan bagi mendamai kedua pihak. Jika perdamaian diperolehi, fail aduan akan diletakkan di bawah pemerhatian unit terbabit, tetapi jika perdamaian gagal diperolehi, permohonan untuk dapatkan perceraian boleh dibuat di mahkamah Syariah. Bagi seorang suami, dia boleh mengemukakan permohonan untuk menceraikan isteri secara talak kepada pihak mahkamah Syariah, sementara bagi seorang isteri, dia boleh memohon kepada mahkamah Syariah untuk membubarkan perkahwinan samada secara fasakh, taklik atau khuluk.


Sumber: Majalah Perempuan (Oktober 2002)
Penulis: Ade Irma Suryani Che' Leh

Sunday, September 16, 2007

Pengenalan - Semarak Cinta


Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.

Pertamanya syukur ke hadrat Allah SWT kerana dengan izin-Nya dan kemurahan masa yang diberi, dapat dihasilkan blog Semarak Cinta ini.

Semarak Cinta adalah sebuah blog khas untuk pasangan suami & isteri dan juga kepada mereka yang bakal mendirikan rumah tangga.

Perkahwinan merupakan satu anugerah buat lelaki dan wanita bersatu di dalam satu kehidupan; saling sayang-menyayangi, saling menghormati dan saling melengkapi antara satu sama lain. Kebahagian adalah impian setiap pasangan yang mendirikan rumahtangga. Kebahagiaan juga tidak akan datang dengan sendirinya tanpa kita berusaha untuk mencapai dan merealisasikannya.

Melalui blog Semarak Cinta ini, diharap akan menjadi satu panduan buat setiap pasangan suami dan isteri mencipta bahagia.
Insya Allah...