Thursday, November 1, 2007

Persediaan Perkahwinan

Perkahwinan adalah hubungan intim yang paling mencabar, namun ia juga sumber kegembiraan dan kepuasan jiwa. Bagaimanapun, sukar untuk mencapai apa yang semua manusia mahukan daripada perkahwinan itu. Satu perkara buruk yang menjadi mimpi ngeri ialah perkahwinan yang tidak bahagia. Oleh itu, setiap keputusan untuk memilih pasangan hidup dan berkahwin adalah keputusan yang paling rumit untuk dibuat.

Bagaimana mengetahui si dia adalah jodoh anda?

Boleh menerima perbezaan yang wujud pada pasangan
Ciri utama dalam perkahwinan bukan terletak pada keupayaan menyelesaikan perbezaan, tetapi kemampuan menerima dan menyesuaikan diri dengan perbezaan itu. Bagi sesetengah perkahwinan adalah penting suami isteri menerima perbezaan itu, malah mungkin ia menceriakan lagi kehidupan berumahtangga.
Misalnya, si isteri sukakan suasana rumah yang kemas dan teratur namun suami pula sering meletakkan barangan miliknya di merata tempat. Si isteri mungkin merungut tetapi menerima hakikat bahawa itu adalah tabiat suaminya.

Mengenali diri anda
Sebelum memilih pasangan hidup dan membentuk keluarga adalah berguna jika anda lebih menyedari kekurangan dan kelebihan diri sendiri. Ia amat membantu dalam usaha anda memilih pasangan yang sesuai.
Senaraikan kekurangan dan kelebihan diri supaya anda mendapat gambaran seimbang mengenai diri sendiri.
Anda juga boleh melakukannya bersama pasangan anda supaya dapat mengukuhkan lagi hubungan cinta anda.
Ini membolehkan anda membuat andaian terlebih dahulu apa yang akan berlaku jika anda mengahwininya serta merangka jalan penyelesaian yang sesuai.

Mengenali personaliti antara satu sama lain
Antara faktor yang sering dikaitkan dalam permasalahan perkahwinan adalah sikap mudah terasa atau sensitif. Di kalangan kita, kira-kira 15 peratus hingga 20 peratus adalah Manusia Terlalu Sensitif (MTS) dan selebihnya bukan MTS.
Sikap ini ditentukan oleh keturunan dan bukan kerana dipengaruhi oleh apa yang berlaku di sekeliling kita dan wujud tanpa mengira jantina anda.
Kemungkinan ketara dalam perkahwinan adalah MTS dengan bukan MTS adalah wujudnya percanggahan pendapat.
Misalnya, apabila ingin membeli rumah, individu bukan MTS mahukan keputusan yang segera, manakala individu MTS mahu berfikir terlebih dulu, mungkin mengenai kemampuan membayar balik pinjaman, kesesuaian tempat dan sebagainya.
Oleh itu, adalah bijak jika anda menetapkan terlebih dulu ciri teman hidup yang anda impikan.

Mengetahui masalah zaman kanak-kanak masing-masing
Antara punca wujudnya perkahwinan yang tidak bahagia adalah kemungkinan pasangan anda didera semasa kanak-kanak, sama ada secara emosi, fizikal atau seksual.
Penganiayaan seperti ini akan menyebabkan seseorang itu sering mengalami tekanan perasaan walaupun sudah dewasa.
Biasanya individu seperti ini akan menghadapi kesukaran meneruskan kehidupan berumahtangga dan menyebabkan kesengsaraan hidup terhadap pasangan dan anaknya.
Anda patut berusaha mendapatkan bantuan pakar jika menghadapi masalah. Masalah itu jika dibiarkan mungkin menjadi lebih buruk dan menjejaskan masa depan anda.

Mengetahui keupayaan dan kelemahan diri sendiri
Fikirkan dulu mengenai keupayaan dan kelemahan diri anda dari segenap sudut sebelum membuat keputusan untuk berkahwin.
Jika anda lemah dari segi kemahiran dalam perhubungan anda mungkin mengalami tekanan untuk mewujudkan keharmonian perkahwinan. Malah, mereka yang mahir dalam perhubungan pun menghadapi cabaran dalam perkahwinan.
Ada pelbagai cara untuk menilai kemahiran perhubungan anda. Tanyalah diri sendiri sama ada mudah atau sukar untuk anda mengekalkan hubungan persahabatan.
Jika jawapannya sukar, maka anda patut berusaha meningkatkan kemahiran perhubungan sebelum mendirikan rumahtangga.


Sumber: Berita Harian

Tuesday, October 23, 2007

Pastikan Ia Seronok!

Beberapa tip berguna boleh dijadikan panduan dalam membuatkan hubungan seksual anda menyeronokkan.

Pemanasan
Teknik pemanasan sebelum anda melakukan hubungan seksual sebenarnya suatu aktiviti yang menyenangkan. Buat dengan tenang dan jangan terlalu gelojoh kerana ia memudahkan anda mengatur strategi seterusnya. Sekurang-kurangnya tempoh masa 15 hingga 30 minit, saat sesuai sebelum kalian boleh mencapai kepuasan maksimum.

Ciuman
Ciuman mesra mampu menjadikan hubungan seksual lebih indah dan bermakna. Ini kerana bibir merupakan daerah sensitif, tercetusnya detik-detik romantik.

Hubungan seksual di pagi hari
Melakukannya di waktu pagi, dikatakan lebih 'fresh' kerana fikiran anda masih tenang lagi. Maklumlah mood anda dan pasangan biasanya belum terganggu dengan pelbagai beban kerja, ataupun lain-lain perkara yang akan mengganggu konsentrasi kalian.

Pelbagai variasi
Terdapat pelbagai variasi seksual yang boleh dipraktikkan, tapi ingat jangan sampai menyakitkan. Paling penting anda berpuas hati...

Menemukan titik G-Spot
Menemukan titik G-Spot di daerah klirotis, kebiasannnya memudahkan orgasme terjadi. Begitu pun jangan terikat dengan satu-satu daerah sahaja, sebaliknya cari titik G-Spot lain yang kadangkala turut disenangi oleh pasangan anda.

Percaya diri
Percaya dengan kelebihan diri, sebenarnya kunci keseronokan setiap kali melakukan hubungan seksual. Tidak perlu lebih pada gaya, tetapi anda tidak cemerlang di hadapan pasangan anda. Oleh itu, biarkan pasangan melihat dan menikmati keindahan tubuh anda, seadanya, kerana ia lebih bermakna.

Sumber: Mingguan Wanita (25 - 31 Jul 2003)

Monday, October 8, 2007

5 Rahsia Agar Suami Bersikap Terbuka

Keluhan seperti, "susahnya nak faham, saya tak tahu apa yang dia sedang fikirkan..." sering kita dengar daripada mulut si isteri. Dari hasil suatu kajian menunjukkan bahawa 42 peratus wanita memiliki kesukaran untuk membuat pasangannya bersikap terbuka atau lebih terbuka. Jika hal tersebut berlaku, wanita sering merasa putus asa, kecewa dan si suami pula akan merasa dipersalahkan. Lelaki hanya ingin berbincang dalam keadaan-keadaan tertentu. Kebanyakan lelaki tidak mahu rasa terbeban. Jadi, apakah rahsianya yang boleh membuatkan pasangan anda akan lebih terbuka?

Rahsia 1
Lelaki takut akan penolakan. Kebanyakan lelaki merasakan bahawa wanita sangat kritis terhadap mereka dan mereka bimbang jika mereka bersikap terbuka, orang lain akan mentertawakan, membiarkan mereka merasa diketepikan dan malu. Penting bagi wanita untuk menyedari bahawa ego dan keakuan seorang lelaki sangat rapuh, dan mudah terluka dibandingkan wanita. Lelaki biasanya berusaha untuk menarik perhatian pasangannya, mendapatkan respons dan merasa bahawa dia telah menyenangkan pasangannya. Jika seorang lelaki itu menganggap anda melihat dia dengan pandangan yang berbeza dari sebelumnya setelah dia mengatakan sesuatu hal, percayalah selepas itu dia sukar atau tidak akan berbicara lagi dengan anda.Untuk membuatkan seorang lelaki bersikap terbuka, dia harus berasa dirinya diterima oleh pasangan sebagai dirinya seadanya. Bersabarlah terhadapnya. Jika anda memberikan respons terhadap ucapannya dengan balasan bantahan seperti; "Itu tidak benar, saya tidak setuju dengan hal tersebut" Atau "Dari mana awak mendapat idea gila tu?" Tentu saja responnya langsung merendahkan dirinya. Mereka khuatir jika mereka mengucapkan sesuatu yang terlalu personal atau peribadi, berkemungkinan tidak sesuai dengan gambaran yang sedia ada. Jangan halang dia untuk mengungkapkan siapa dirinya yang sebenar. Jika anda dapat menyingkirkan semua harapan anda dan benar-benar cuba mencari siapa dirinya, dia akan segera merasakannya. Malah, dia akan merasa lebih mudah dan senang untuk berbicara dengan anda.

Rahsia 2
Kongsi juga rahsia anda dengannya. Pastilah anda saling bergantung antara pasangan. Kebanyakan lelaki berfikir, "Jika saya menceritakan hal tersebut, pasti dia akan meninggalkan saya". Anda harus menunjukkan padanya bahawa anda percaya padanya sehingga anda pun bersikap terbuka dan berkongsi apa sahaja rahsia anda. Pada saat dia mula bersikap terbuka, dengarkanlah apa yang ingin dikatakannya, kemudian tawarkan sesuatu yang positif padanya. Contoh: "Pengalaman abang boleh tahan sedihnya, saya pun pernah mengalaminya" atau "Saya kagum atas tindakan awak waktu itu" dan ambillah contoh dari ceritanya tadi yang membuatkan anda kagum padanya (jangan pula terlalu berpura-pura, kerana semua orang boleh perasan kalau lawan cakapnya sedang mengatakan sesuatu yang tidak benar). Biarkan dia mengetahui bahawa anda adalah di pihaknya dan dia tidak bersendirian dalam pengalamannya.Kebanyakan wanita mendengar apa yang dikatakan lelaki dan memberi respons negatif dengan memberikan cadangan seharusnya tindakan kamu patut begini atau begitu. Penting untuk melihat situasi dari sudut pandangan dia. Kejujuran dan respons positif dari anda sangat diharapkannya. Pasangan anda akan merasa ada seseorang yang cukup memahami dan memberi perhatian kepadanya. Dan ini akan membuatkan mereka lebih terbuka lagi dengan anda.

Rahsia 3
Lupakan masa lalu. Pernahkah anda berbincang dengan pasangan anda dan berakhir dengan keadaan yang tidak menyeronokkan kerana kesalahan masa lalu yang dilakukannya. Atau mungkin kerana sikapnya yang menyakitkan hati dan menyinggung perasaan anda. Jika seseorang lelaki merasa bahawa kata-katanya nanti akan disalah ertikan, nampaknya makin susahlah dia ingin bersikap terbuka. Dan satu-satunya cara untuk menghindar dari jerat komunikasi seperti ini adalah menyedari bahawa apa pun yang terjadi di masa lalu, atau apa pun yang dikatakan atau dilakukan olehnya, anda terlibat sama di dalamnya.Semua hubungan adalah seperti tarian, tidak ada yang lebih baik atau pun lebih buruk. Kemampuan untuk memaafkan menjadi mudah jika anda cuba memahami bahawa apa saja sikapnya terutama sikap negatif pada dirinya setahun lalu (juga tentang diri anda), mungkin sudah tidak ada lagi pada waktu ini. Komunikasi yang baik memerlukan kemampuan untuk tetap berpegang pada sikap dan keadaan di masa sekarang dan membiarkan masa silam berlalu.

Rahsia 4
Menjadi pendengar yang baik dan melindungi. Bolehkah anda mendapat hubungan yang jujur? Dan alasan terbesar orang yang tidak jujur adalah kerana akibatnya yang juga terlalu besar. Kebanyakan lelaki berpendapat wanita ingin dan perlu dibohongi kerana mereka tidak dapat menerima kejujuran. Lagi pun mereka khuatir pasangannya akan sedih. Kenyataannya, kebanyakan wanita menggunakan emosi mereka untuk mengawal lelaki dan mengawal hubungan mereka. Mereka menuntut respons yang jitu daripada pasangannya dan merasa stres bila mereka tidak mendapatkannya.Tetapi dengan keinginan pasangannya untuk mendengar apa yang harus dia katakan merupakan peringkat awal hubungan yang dewasa. Ini memberikan pada lelaki suatu perasaan bahawa dia memiliki pasangan yang baik yang akan bersamanya dalam suka dan duka. Kemampuan untuk menerima kejujuran dari orang lain meningkatkan kesedaran kita bahawa keharmonian tidak datang kerana persetujuan dari pihak lain, namun dari keikhlasan terhadap diri sendiri.

Rahsia 5
Kebenaran dan keikhlasan pada diri sendiri; waspadalah! Cara yang paling baik untuk membantu seorang lelaki bersikap terbuka adalah terbuka terhadap diri sendiri, dan ciptakan suasana yang hangat dan dapat diterima oleh dirinya. Contoh, dapatkah anda memaaafkan diri anda sendiri atas kesilapan yang dibuat pada masa lalu? Atau anda sentiasa diliputi dengan perasaan bersalah atas kesalahan yang dibuat dulu? Ketika anda memperlakukan diri anda seperti ini, secara semula jadi pasti anda akan melakukan hal tersebut pada pasangan anda.Jika anda terluka, ini kesempatan anda untuk membuat keputusan agar hidup anda tidak dibayangi masa lalu lagi. Kadangkala kita mahu orang lain menerima hal yang sama kembali. Jika anda tidak dapat terima, kekecewaan mulai timbul. Anda harus menyedari bahawa anda akan memberi lebih banyak dari apa yang akan anda terima. Ketika anda memberi pasangan atau orang lain rasa hormat tanpa syarat, anda memberikan hal tersebut juga untuk diri anda sendiri.

Sumber: Mingguan Wanita

Thursday, October 4, 2007

Sakit Ketika Bersama, Apa Puncanya?

Anda pasti pernah mengalami detik menyakitkan, ketika sedang melakukan hubungan seksual bersama suami.Tentunya gangguan seumpama ini, membuatkan anda merasa tidak selesa untuk meneruskan aktiviti yang pasti mengasyikkan.Bagaimanapun usah mudah berputus asa, sebaliknya perhatikan masalah yang dikemukakan, serta ketahui punca serta cara mengatasinya. Mana tahu, anda dapat manfaatkan apa yang tertera di bawah ini:


Masalah 1

Bibir vagina terasa nyilu dan sakit, menyebabkan anda seolah-olah ingin menghentikan hubungan seksual yang awalnya begitu menyeronokkan.

Puncanya: Keadaan tersebut kemungkinan besar adalah disebabkan oleh pemakaian seluar dalam yang terlalu ketat. Atau ia diperbuat dari bahan yang tidak menyerap peluh. Disebabkan kawasan tersebut sering kali berkeadaan lembab, maka ini memudahkan kulit anda melecet kerana paha kerap bergesel.

Cara mengatasi: Sebagai langkah mencegah, cubalah mencari seluar dalam dari bahan sintetik yang lebih selesa, serta dapat membuat kulit sekitar vagina 'bernafas dengan mudah'. Ia sekaligus mengurangkan kadar kelembapan di celah-celah paha anda.


Masalah 2

Sekitar dinding vagina terasa gatal, begitu di liang vagina, tambahan pula ketika sedang bersama suami.

Puncanya: Boleh jadi bakteria telah pun menguasai sekitar genital anda. Gejala ini biasanya disebut sebagai 'vaginistis'. Jika gangguan ini dibiarkan berlarutan, ia mungkin akan mengganggu rahim anda.

Cara mengatasi: Segera bertemu pakar sakit puan anda dan dapatkan nasihat terbaik darinya. Untuk sementara, hindari dari melakukan hubungan seksual sehingga anda selesai mendapatkan rawatan.

Masalah 3

Setelah bersalin anak ketiga, ada kalanya anda seperti enggan melayan kehendak suami. Alasannya ialah setiap kali suami melakukan penestrasi anda selalu berasa sakit. Seolah-olah vagina anda kering.

Puncanya: Jika anda sedang menjalani program diet, pastikan terlebih dahulu adakah ia terlalu ketat untuk anda ikuti? Ini kerana kadangkala, akibat taksub ingin mendapatkan bentuk badan idaman, membuatkan anda terlupa bahawa badan sebenarnya memerlukan zat makanan seimbang.Apabila kekurangan hormon estrogen dalam badan, maka keringnya daerah vagina adalah salah satu tanda, bahawa anda kini bermasalah.

Cara mengatasi: Segeralah mengubah pola pemakanan dengan lebihkan mengambil makanan yang mengandungi estrogen. Seperti aneka sayuran hijau mahupun kacang hijau. Dalam masa sama, dapatkan juga nasihat dari doktor kerana tentunya dia lebih arif akan hal seumpama ini.


Masalah 4

Bibir vagina kelihatan merah, terasa perit sewaktu melakukan hubungan seksual dan pada permukaan kulit vagina, terasa panas.

Puncanya: Adakah anda kerap membasuh kawasan genital dengan sabun pewangi? Jika kebetulan jenis kulit anda di daerah ini agak sensitif, mungkin juga ia salah satu puncanya. Keadaan menjadi lebih teruk jika anda menggarunya, tanpa memikirkan akibatnya.

Cara mengatasi: Jika anda begitu menitik-beratkan soal kebersihan, anda dinasihatkan untuk membasuh sekitar vagina dengan sabun khusus yang kadar pelembabnya tinggi.



Sumber: Mingguan Wanita (26 Sep - 2 Okt 2003)

Wednesday, September 19, 2007

Biar Makin Disayangi Suami

Memang tidak adil jika kita hanya meminta para lelaki yakni hanya suami yang menanggung semua keperluan dalam sesebuah hubungan. Sesekali apa salahnya anda pula yang mengambil alih tanggungjawab tersebut. Tapi janganlah sampai anda pula menjadi pengendali dalam bahtera hubungan anda berdua. Keadaan berat sebelah seperti ini akan menyebabkan perjalanan rumah tangga atau hubungan perkasihan anda tidak akan berjalan lancar. Oleh sebab itu, prinsip give and take perlu betul-betul diterapkan.
Bagi lelaki memikul kesemua tanggungjawabnya bukan satu masalah. Bagi mereka asalkan isteri atau kekasih senang, mereka sanggup lakukan apa sahaja. Tapi sebagai isteri atau pasangan yang setia, anda juga perlu melakukan sesuatu yang bermakna. Jika anda ada sikap tolak ansur,sudah pasti anda akan semakin disayangi pasangan.

Untuk itu, cuba beberapa tip berikut ini:

  1. Sempatkan diri anda menyapa suami ketika anda atau dia mahu ke pejabat atau hubunginya melalui telefon di pejabatnya dan katakan bahawa anda akan merinduinya sepanjang hari itu. Ciuman kasih juga boleh diberikan kepada suami sebelum dia melangkah ke tempat kerja.
  2. Ungkapkan rasa cinta anda dengan pelbagai cara unik. Misalnya, kirimkan pesan cinta singkat melalui SMS di telefon bimbit atau emelnya. Atau, selitkan pesanan "Selamat makan, sayang" dalam bekalan makanan tengaharinya jika anda membekalkan makanan tengahari dari rumah untuk suami.
  3. Sesekali, buat janji makan tengahari bersamanya secara spontan. Ajak dia ke restoran tempat pertama kali anda makan berdua ketika bercinta dahulu (kalau tempat itu masih di daerah tempat anda tinggal sekarang).
  4. Biarkan dia membantupekerjaan anda. Jangan lupa ucapkan terima kasih setelah itu, lalu pujilah usahanya membantu anda.
  5. Sesekali ajak dia menonton wayang di pawagam. Biarkan dia yang menentukan filem apa yang mahu ditonton. Memberi pujian dengan mengatakan bahawa dia pun sehebat hero dalam filem itu. Sebutkan beberapa kebaikannya yang membuat anda sangat menyintai dan menyayanginya, walaupun mungkin wajahnya tidak sekacak hero dalam filem yang anda tonton itu.
  6. Jika dia merancang mahu menonton siaran langsung sukan kegemarannya di kaca TV pada tengah malam, sediakan makanan ringan kesukaannya. Esok pagi, tanyakan berapa gol atau skor yang diperoleh oleh pasukan kesukaan. Biar suami menyedari sikap prihatin anda terhadapnya atau sekurang-kurangnya dia dapat merasakan betapa anda begitu menghargainya.
  7. Tidak perlu menunggu hari ulang tahunnya untuk memberikan hadiah. Berikan kejutan berupa hadiah-hadiah kecil seperti aksesori kereta, tali leher atau kaset penyanyi atau group band kegemarannya.
  8. Tertawalah ketika mendengar gurauannya, atau menyanyilah bersamanya biarpun suaranya terdengar sumbang.
  9. Berusahalah bergaul dengan para sahabatnya. Anggap dia seperti teman anda sendiri. Jika mereka menceritakan kisah nostalgia masa lalu, dengarkan bersungguh-sungguh, meskipun anda sudah mendengar cerita-cerita itu.
  10. Simpan gambarnya di dompet anda.
Sumber: Mingguan Wanita (25-31 Julai 2003)

Tuesday, September 18, 2007

Amalan & Adab Berjimak

Rasulullah s.a.w. telah bersabda yang bermaksud, "Sesungguhnya sejahat-jahat manusia di sisi Allah di hari kiamat kelak ialah seorang lelaki yang melepaskan hajatnya kepada isterinya dan isterinya melepaskan hajatnya kepadanya dan kemudian dia menceritakan rahsia itu.
Islam telah menggariskan amalan dan adab tertentu ketika pasangan suami isteri melakukan jimak:
1. Sembahyang sunat dan membaca surah
Pasangan pengantin baru contohnya digalakkan melakukan sembahyang sunat dua rakaat dan kemudian si suami dianjurkan pula supaya membaca Surah al-Fatihah (3 kali), Surah al-Ikhlas (3 kali) dan memanjatkan selawat ke atas nabi Muhammad s.a.w. (3 kali). Selepas itu, si suami hendaklah berdoa kepada Allah agar hubungan mereka suami isteri diberkati dan diberikan kebahagiaan yang berkekalan.
2. Membersihkan kemaluan dan ambil wuduk
Selepas melakukan hubungan jimak, kedua-duanya hendaklah membasuh kemaluan dan jika hendak mengulanginya, dianjurkan agar mereka mengambil wuduk terlebih dahulu bagi mengembalikan tenaga yang telah hilang.
3. Pasangkan niat
Hubungan seksual memberi erti kata yang lebih bermakna daripada memuaskan nafsu ke dua belah pihak semata-mata. Sebaiknya sebelum melakukan hubungan seksual dengan pasangan, pasangkan niat di hati bahawa tujuan hubungan seksual tersebut adalah untuk memenuhi kewajiban kepada Allah S.W.T. Pasangan yang melakukan hubungan seksual mengikut adab yang ditentukan akan mendapat pahala dari Allah.
4. Bercumbu dengan sopan
Ketika melakukan hubungan seksual, keduanya digalakkan untuk bercumbu dan melakukan dengan baik dan sopan. Ini diperkuatkan lagi dengan firman Allah S.W.T. yang bermaksud: "Dan pergauli isteri-isterimu dengan cara yang baik"
Teknik bercumbu mampu menghilangkan rasa malu di hati isteri ketika disentuh oleh suami. Sentuhan dan cumbuan juga merupakan bukti kasih-sayang si suami kepada isterinya.
5. Mencapai kepuasan bersama
Apabila menyentuh tentang soal kepuasan dalam hubungan seksual suami isteri, si suami haruslah memahami kehendak seksual isterinya. Si suami hendaklah memberi peluang kepada isterinya untuk mencapai kepuasan setanding dengan kepuasan yang dirasainya.
6. Jangan berbogel
Ketika bersama, keduanya dilarang melucutkan semua baju dari tubuh. Ini ditekankan lagi dengan hadis Nabi Muhammad s.a.w. yang diriwayatkan daripada Ibnu Majah yang bermaksud: "Apabila salah seorang darimu menyetubuhi isterinya, maka janganlah mereka telanjang seperti bogelnya sepasang keldai"
7. Berhias dan memakai wangi-wangian
Sebelum melakukan hubungan seksual, baik suami mahupun isteri digalakkan untuk membersihkan diri dan memakai wangi-wangian. Isteri yang bijak seharusnya bersolek dan memakai pakaian yang indah-indah untuk menarik hati suaminya.
8. Sunat dua kali seminggu
Adalah disunatkan agar si suami melakukan hubungan seksual dengan isterinya dua kali seminggu. Bagaimanapun pasangan boleh menambah atau mengurangkannya sesuai dengan keadaan, kemampuan dan keinginan pasangan. Kerap melakukan hubungan seksual boleh menyebabkan rasa jemu. Terlalu jarang melakukannya pula boleh membuatkan si isteri merasa dipinggirkan.
Sumber: Nur (November 2002)

Monday, September 17, 2007

Hak-Hak Sebelum Dan Selepas Perkahwinan

Kehidupan sebagai suami isteri bukanlah satu perkara yang dipandang remeh. Alam rumah tangga perlukan komitmen sepadu di samping tanggungjawab setiap individu dalam menjaga sebuah keharmonian ikatan agar kekal abadi. Justeru itu bagi setiap pasangan suami isteri samada yang baru berkahwin ataupun sudah lama mendirikan rumah tangga, ilmu tentang ertikata sebenar perkahwinan perlu ada supaya masing-masing ketahui hak tersendiri dan tidak berlaku kecelaruan di kemudian hari andai dilanda sebarang masalah.

Bagi mereka yang masih kabur dengan hak-hak dalam perkahwinan, anda seharusnya mengetahuinya lebih terperinci penyataan hak dari sudut undang-undang kekeluargaan Islam dan amat penting bagi individu memahami seluruh fakta berkaitannya.

Hak-Hak Sebelum Berkahwin
Seperti yang terkandung di dalam peruntukan undang-undang kekeluargaan, seseorang mempunyai hak untuk mengatur urusan perkahwinannya. Undang-undang kekeluargaan Islam telah menetapkan beberapa hak yang boleh diperolehi iaitu:

a) Had umur minimum perkahwinan
Ia membawa maksud individu samada lelaki atau perempuan ditetapkan mencapai umur usia tertentu iaitu 16 tahun bagi perempuan dan 18 tahun bagi lelaki, untuk melayakkan dia berkahwin. Had umur ditetapkan untuk menjamin kebajikan kedua-dua pasangan yang ingin berkahwin. Umur 16 tahun bagi gadis dan 18 tahun bagi teruna dianggap tahap umur dewasa dan mampu berfikir dengan matang dalam membuat sebarang keputusan berkaitan masa hadapan.

Sekiranya had umur tidak dipatuhi, perkahwinan itu adalah salah di sisi undang-undang walaupun dikira sah dari segi syarak. Perkahwinan yang salah di sisi undang-undang tidak boleh didaftarkan, malah hak-hak lanjutan ekoran perkahwinan tersebut juga sukar diperolehi. Jikalau keadaan tidak dapat dielakkan dan perkahwinan yang melibatkan pasangan bawah umur tetap ingin dilakukan, maka permohonan boleh dikemukakan kepada pihak Kadi atau Mahkamah Syariah untuk mendapatkan keizinan.

b) Hak diminta keizinan untuk berkahwin
Maksudnya ialah kedua-dua pasangan hendaklah diminta persetujuan untuk perkahwinan yang bakal dilangsungkan. Seorang gadis tidak boleh dipaksa kahwin sekalipun oleh wali mujbirnya (bapa atau datuk sebelah bapa dan ke atas). Izin bakal isteri mesti diperolehi. Seorang bakal isteri yang bergelar janda wajib mendapatkan keizinan manakala bagi gadis, memadai hanya diam sebagai tanda setuju.

Bagaimanapun, dalam beberapa keadaan, seorang gadis boleh dinikahkan oleh wali mujbir tanpa persetujuan gadis sekiranya:
  • wali mujbir atau bakal suami tidak mempunyai permusuhan dengan si gadis
  • bakal suami sekufu dengan si gadis (sekufu: kesamaan/keserasian antara kedua pasangan)
  • bakal suami berkemampuan membayar mahar misil
Sekiranya wali tidak bersetuju dengan sesuatu perkahwinan tanpa sebarang sebab munasabah di sisi syarak, permohonan boleh dikemukakan kepada pihak mahkamah Syariah supaya perintah dikeluarkan bagi mengarah wali memberi izin perkahwinan tersebut. Jika wali tetap enggan memberi izin, Mahkamah Syariah akan mengeluarkan perintah supaya perkahwinan menggunakan wali hakim (Wali Hakim: wali yang ditauliahkan oleh pihak berkuasa negeri untuk mengahwinkan perempuan yang tidak mempunyai wali nasab/wali asal/keturunan).

c) Hak dalam pertunangan
Mengikut Undang-Undang Kekeluargaan Islam, individu boleh dapatkan gantirugi sekiranya pertunangan itu diputuskan oleh pihak satu lagi. Sebagai contoh, seorang perempuan yang diputuskan pertunangannya dalam keadaan dia tidak rela dengan keputusan pihak lelaki, maka dia berhak menuntut pihak lelaki membayar gantirugi perbelanjaan yang telah dibuat sebagai persediaan majlis dan menuntut supaya memulangkan semua pemberian pertunangan atau nilai barang jika ia telah digunakan. Sekiranya pertunangan itu diputuskan oleh pihak perempuan, maka keadaannya sama seperti di atas. Pihak perempuan mesti memulangkan semua pemberian pertunangan atau nilai barang yang telah digunakan. Pihak lelaki juga berhak menuntut gantirugi perbelanjaan yang telah dibuat untuk persediaan majlis dan menuntut kembali wang hantaran sekiranya telah diberi kepada pihak perempuan.

d) Hak untuk mendapat mahar/mas kahwin
Hak untuk mendapat mahar atau mas kahwin hanya diperolehi oleh pihak perempuan iaitu bakal isteri. Mas kahwin adalah hak yang wajib diperolehi oleh seorang isteri daripada suaminya, mengikut peruntukan undang-undang, mas kahwin hendaklah dibayar oleh suami/wakilnya kepada isteri/wakilnya semasa pernikahan di hadapan dua orang saksi. Pihak pendaftar nikah akan mencatat jumlah mas kahwin, pemberian atau sebarang perjanjian pemberian atau cagaran mas kahwin dan pemberian bagi serahan masa akan datang (selepas akad nikah).

Tiada penetapan khas di dalam perundangan berhubung dengan jumlah mas kahwin, namun memadailah jumlah itu dalam anggaran kemampuan bakal suami dan tidak melibatkan hutang yang akan membebankan suami isteri. Tiada peraturan atau syarat tertentu berkaitan dengan ketetapan kadar mas kahwin. Bagaimanapun, ada negeri yang menyelaraskan kadar mas kahwin tetapi ia bukanlah satu kadar yang tetap dan perlu dipatuhi. Misalnya bagi Wilayah Persekutuan dan Selangor, lazimnya jumlah mas kahwin RM80 manakala bagi negeri Johor, jumlah mas kahwin biasanya ialah RM22.50.

Hak-Hak Semasa Tempoh Perkahwinan
Semasa tempoh perkahwinan, terdapat beberapa hak yang boleh diperolehi oleh seorang isteri iaitu:

a) Hak untuk mendapat nafkah
Nafkah ialah pemberian yang wajib dari seorang suami kepada isterinya di samping tempoh perkahwinan. Nafkah tersebut samada nafkah batin iaitu mengadakan hubungan kelamin atau nafkah zahir iaitu menyediakan makan minum, pakaian, tempat tinggal, perkhidmatan seperti perubatan, pendidikan, peribadatan dan lain-lain keperluan isteri yang dikira wajar dan tidak melampau di sisi syarak. Seorang isteri akan kehilangan hak mendapat peruntukan nafkah daripada suami apabila didapati isteri berlaku nusyuz (derhaka kepada suami iaitu tidak menunaikan kewajipan sebagai isteri), di antaranya:
  • apabila dia menjauhkan diri daripada suaminya
  • apabila dia meninggalkan rumah bertentangan dengan kehendak suaminya
  • apabila dia enggan berpindah bersama suaminya ke satu rumah atau tempat lain
  • tidak melayani suami di tempat peraduan
Seorang bapa (suami) bertanggungjawab sepenuhnya berhubungan dengan nafkah anak-anaknya samada mampu berdikari atau berumahtangga. Sekiranya bapa meninggal dunia, hilang atau tidak berupaya menanggung nafkah tersebut, tanggungjawab itu dipikul oleh datuk atau pihak lain yang bertanggungjawab di bawah hukum syarak. Isteri boleh mengemukakan aduan kepada Mahkamah Syariah apabila suami atau bekas suami tidak membayar nafkah untuk dirinya dan anak-anak.

b) Hak untuk mendapat layanan baik
Suami isteri berhak mendapat layanan yang baik daripada pasangan masing-masing, termasuklah pemberian kasih-sayang, bimbingan dan perhatian. Seorang suami perlu menghormati isteri begitu juga kepada suaminya. Meskipun suami dianggap ketua keluarga, isteri bukan hamba yang boleh dikerah melakukan kerja rumah sesuka hati suami. Bagi isteri pula, walaupun suami adalah pekerja bawahan di pejabatnya tetapi di rumah, suami adalah ketua yang mesti ditaati. Suami juga hendaklah memberi keadilan kepada isteri-isteri yang dimadukan kerana menjadi hak setiap isteri mendapat keadilan dalam kehidupan berpoligami. Keadaan yang dimaksudkan ialah menepati hak dan minat setiap isteri dalam apa jua perkara.

c) Hak untuk membubarkan perkahwinan
Suami atau isteri mempunyai hak membubarkan perkahwinan apabila hikmah perkahwinan tidak dapat dinikmati lagi. Apabila berlaku konflik yang kritikal antara suami isteri, aduan hendaklah dibuat kepada Unit Khidmat Nasihat Keluarga di pejabat agama berdekatan. Satu sesi kaunseling akan diadakan bagi mendamai kedua pihak. Jika perdamaian diperolehi, fail aduan akan diletakkan di bawah pemerhatian unit terbabit, tetapi jika perdamaian gagal diperolehi, permohonan untuk dapatkan perceraian boleh dibuat di mahkamah Syariah. Bagi seorang suami, dia boleh mengemukakan permohonan untuk menceraikan isteri secara talak kepada pihak mahkamah Syariah, sementara bagi seorang isteri, dia boleh memohon kepada mahkamah Syariah untuk membubarkan perkahwinan samada secara fasakh, taklik atau khuluk.


Sumber: Majalah Perempuan (Oktober 2002)
Penulis: Ade Irma Suryani Che' Leh

Sunday, September 16, 2007

Pengenalan - Semarak Cinta


Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.

Pertamanya syukur ke hadrat Allah SWT kerana dengan izin-Nya dan kemurahan masa yang diberi, dapat dihasilkan blog Semarak Cinta ini.

Semarak Cinta adalah sebuah blog khas untuk pasangan suami & isteri dan juga kepada mereka yang bakal mendirikan rumah tangga.

Perkahwinan merupakan satu anugerah buat lelaki dan wanita bersatu di dalam satu kehidupan; saling sayang-menyayangi, saling menghormati dan saling melengkapi antara satu sama lain. Kebahagian adalah impian setiap pasangan yang mendirikan rumahtangga. Kebahagiaan juga tidak akan datang dengan sendirinya tanpa kita berusaha untuk mencapai dan merealisasikannya.

Melalui blog Semarak Cinta ini, diharap akan menjadi satu panduan buat setiap pasangan suami dan isteri mencipta bahagia.
Insya Allah...