Tuesday, September 18, 2007

Amalan & Adab Berjimak

Rasulullah s.a.w. telah bersabda yang bermaksud, "Sesungguhnya sejahat-jahat manusia di sisi Allah di hari kiamat kelak ialah seorang lelaki yang melepaskan hajatnya kepada isterinya dan isterinya melepaskan hajatnya kepadanya dan kemudian dia menceritakan rahsia itu.
Islam telah menggariskan amalan dan adab tertentu ketika pasangan suami isteri melakukan jimak:
1. Sembahyang sunat dan membaca surah
Pasangan pengantin baru contohnya digalakkan melakukan sembahyang sunat dua rakaat dan kemudian si suami dianjurkan pula supaya membaca Surah al-Fatihah (3 kali), Surah al-Ikhlas (3 kali) dan memanjatkan selawat ke atas nabi Muhammad s.a.w. (3 kali). Selepas itu, si suami hendaklah berdoa kepada Allah agar hubungan mereka suami isteri diberkati dan diberikan kebahagiaan yang berkekalan.
2. Membersihkan kemaluan dan ambil wuduk
Selepas melakukan hubungan jimak, kedua-duanya hendaklah membasuh kemaluan dan jika hendak mengulanginya, dianjurkan agar mereka mengambil wuduk terlebih dahulu bagi mengembalikan tenaga yang telah hilang.
3. Pasangkan niat
Hubungan seksual memberi erti kata yang lebih bermakna daripada memuaskan nafsu ke dua belah pihak semata-mata. Sebaiknya sebelum melakukan hubungan seksual dengan pasangan, pasangkan niat di hati bahawa tujuan hubungan seksual tersebut adalah untuk memenuhi kewajiban kepada Allah S.W.T. Pasangan yang melakukan hubungan seksual mengikut adab yang ditentukan akan mendapat pahala dari Allah.
4. Bercumbu dengan sopan
Ketika melakukan hubungan seksual, keduanya digalakkan untuk bercumbu dan melakukan dengan baik dan sopan. Ini diperkuatkan lagi dengan firman Allah S.W.T. yang bermaksud: "Dan pergauli isteri-isterimu dengan cara yang baik"
Teknik bercumbu mampu menghilangkan rasa malu di hati isteri ketika disentuh oleh suami. Sentuhan dan cumbuan juga merupakan bukti kasih-sayang si suami kepada isterinya.
5. Mencapai kepuasan bersama
Apabila menyentuh tentang soal kepuasan dalam hubungan seksual suami isteri, si suami haruslah memahami kehendak seksual isterinya. Si suami hendaklah memberi peluang kepada isterinya untuk mencapai kepuasan setanding dengan kepuasan yang dirasainya.
6. Jangan berbogel
Ketika bersama, keduanya dilarang melucutkan semua baju dari tubuh. Ini ditekankan lagi dengan hadis Nabi Muhammad s.a.w. yang diriwayatkan daripada Ibnu Majah yang bermaksud: "Apabila salah seorang darimu menyetubuhi isterinya, maka janganlah mereka telanjang seperti bogelnya sepasang keldai"
7. Berhias dan memakai wangi-wangian
Sebelum melakukan hubungan seksual, baik suami mahupun isteri digalakkan untuk membersihkan diri dan memakai wangi-wangian. Isteri yang bijak seharusnya bersolek dan memakai pakaian yang indah-indah untuk menarik hati suaminya.
8. Sunat dua kali seminggu
Adalah disunatkan agar si suami melakukan hubungan seksual dengan isterinya dua kali seminggu. Bagaimanapun pasangan boleh menambah atau mengurangkannya sesuai dengan keadaan, kemampuan dan keinginan pasangan. Kerap melakukan hubungan seksual boleh menyebabkan rasa jemu. Terlalu jarang melakukannya pula boleh membuatkan si isteri merasa dipinggirkan.
Sumber: Nur (November 2002)

No comments: